Tuesday, November 2, 2010

pembelajaran penemuan..

KAEDAH PENEMUAN.


Kaedah penemuan merupakan satu strategi instruksional yang berpusatkan pelajar yang menggalakkan pelajar mencari jawapan sendiri terhadap sesuatu masalah melalui proses cuba dan salah. Kebiasaannya guru atau pensyarah sebagai fasilitator atau pengurus pembelajaran akan menyediakan persekitaran pembelajaran agar penemuan dapat dilaksanakan. Prinsip utama dalam pembelajaran penemuan ialah pelajar menemui sesuatu melalui pemerhatian dan perbuatan bukan secara mendengar atau membaca.
Tujuan pembelajaran penemuan adalah untuk mengukuh kefahaman pelajar tentang kandungan pelajaran melalui perbuatan dan penglibatan aktif pelajar. Prosedur dan peraturan untuk mencari jawapan mungkin boleh di dapati daripada pengalaman pelajar, pengetahuan sediaada, bahan rujukan dari perpustakaan, internet atau pangkalan data yang tersimpan dalam komputer.

Menarik tentang pembelajaran penemuan.
  • Memberi peluang kepada pelajar menggunakan data mentah untuk mencari sesuatu penemuan dalam sesuatu disiplin ilmu. Data boleh diperolehi dari komputer atau sumber rujukan lain. Kaedah ini menggalakkan pelajar menerokai sains atau teknologi bukan sekadar sains dan teknologi di luar konteks.
  • Melatih pelajar mencari dan menggunakan bukti, fakta, mencatat dapatan dan menggunakan logik.
  • Memberi motivasi dalaman bagi mencari jawapan kepada masalah.
  • Membina kemahiran dan sikap untuk belajar sendiri.
  • Boleh mengingati pelajaran lebih lama kerana pelajar mengaplikasi dan memproses maklumat bukan menghafal atau menyatakan semula maklumat.
  • Mernggalakkan perkembangan pemikiran aras tinggi dalam bidang kognitif kerana pelajar dikehendaki menganalisis dan mensintesis maklumat bukan hanya menyata, atau menghafal fakta aras rendah.
  • Melibatkan tempoh masa yang lama.

Aplikasi

Guru atau pensyarah seni halus boleh mengajar konsep warna dan hubungannya dengan warna-warna lain menggunakan kaedah penemuan. Dimana guru menggalakkan belajar mencampur warna dan mencatat sendiri warna-warna baru yang di temui. Pelajar tidak diberitahu bahawa merah di campur dengan kuning akan menghasilkan coklat.

Wednesday, October 27, 2010

Pembelajaran Berasaskan Projek.....




Dapatlah di jelaskan disini secara serba ringkas iaitu berkaitan Pembelajaran Berasaskan Projek. Ia merupakan suatu kaedah yang mana pengajaran yang menekankan kajian dalam bentuk projek sebagai cara pelajar memperolehi ilmu. Kaedah digunakan menekankan pembelajaran kendiri serta amalan penerokaan oleh pelajar. Projek membawa maksud sebagai tugas, pembinaan atau juga siasatan yang teratur yang akan menjurus kepada matlamat spesifik. Sekiranya dilaksanakan ia mampu untuk menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran proses sains. Ia juga boleh dibuat mengikut keperluan topic malah mengikut minat pelajar. Pengajaran dan pembelajaran ini di lakukan secara individu atau kumpulan atau juga di bawah bimbingan oleh guru.


Melalui pembacaan dan pemerhatian yang di buat, pengajaran dan pembelajaran berasaskan projek ini sudah lama di amalkan oleh Negara kita. Dalam sukatan matapelajaran di sekolah umpamanya sudah banyak unsur projek sudah diterapkan melalui pemyempurnaan komponen kerja kursus oleh pelajar. Kaedah ini dikatakan sesuai kerana ia mampu memberi kuasa yang luas kepada pelajar bagi meneroka dunia sebenar dalam mendapatkan ilmu pengetahuan. Melalui kaedah ini juga ia memeberi kualiti pemerolehan ilmu yang tinggi untuk pelajar dengan cara penglibatan pelejar secara aktif. Disamping itu pelajar dapat bimbingan untuk meningkatkan kemahiran berfikir malah berkeupayaan untuk berdikari ketika melakukan kajian tentang sesuatu perkara.

 Kaedah ini menunjukkan secara jelas kepuasan dan keseronokan sambil belajar oleh pelajar di mana ia dapat membantu dari segi aspek pembelajarn, melibatkan pelbagai cara belajar, pembelajaran berasaskan dunia sebenar. Melibatkan perkara sebenar atau secara langsung, memberi tahap kefahaman yang mendalam tentang isi, melibatkan pelbagai cara komunikasi, pelajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran sendiri, pelajar merasa pembelajarn adalah miliknya, pembelajarn ada berkaitan pengalaman dan prestasi masa lau, pembelajaran libatkan proses kumpul data dan buat rumusan, pembelajaran/projek dihargai, pelajar dapat tumpukan penuh perhatian malahan mewujudkan satu perasaan lebih yakin untuk bertanya dan bercakap.



Sunday, October 24, 2010

ALAM SEBAGAI SUMBER IDEA DALAM PROSES KREATIF

...kreativiti menuntut komitimen berterusan dan memperhalusi setiap cetusan idea-idea serta peneyelesaian masalah...

Terdapat sekurang-kurangnya tiga aspek utama jika ingin berbicara tentang kreatif dan kreativiti.

  1. Keupayaan/ kemampuan.
Definisi mudahnya ialah: keupayaan untuk
-          membayangi/imaginasi atau penemuan sesuatu yang baru.
-          Menjana idea baru dengan cara;
·         Menyatukan
·         Menukar/merubah.
·         Mengaplikasikan semula idea sediada.

  1. Sikap
Kreativiti juga merupakan sikap;
-          keupayaan untuk menerima perubahan dan pembaharuan
-          bersedia untuk bermain dengan idea-idea dan pelbagai kemungkinan.
-          Fleksibiliti: iaitu mempunyai kecenderungan untuk menyukai sesuatu yang baik dan mencari jalan untuk memperbaikinya lagi.
  1. Proses
Orang kreatif sentiasa bekerja keras secara berterusan untuk memperbaiki idea dan keputusan permasalahannya dengan membuat penambahbaikan secara berterusan. Ia memperhalusi kerja-kerjanya dan tidak cepat berpuas hati dengan apa yang di hasilkan.

Orang kreatif sedar bahawa ruang dalam memperbaiki apa sahaja yang dihasilkan sentiasa ada. Berdasarkan kepada tiga aspek tersebut, dapatlah sekurang-kurangnya setiap tindakan dalam meneroka dan mengkaji sumber dari alam sebagai bahan untuk berkreatif, bergantung kepada batas dan panduan yang menggerakkan kita kea rah bekerja dengan berhemah. Idea yang diperolehi dari sumber alam digunakan dengan pertimbangan kesedaran bahawa setiap satu amat berharga. Justeru itu, kita tidak sewenang-wenangnya rakus dalam penggunaannya. Seni dapat memperkasakan dan mencabar kehidupan seseorang. Sebarang kreativiti menuntut komitmen yang berterusan dan memperhalusi setiap cetusan idea-idea dan usaha penyelesaian masalah. Pewarnaan asli hasil dari kajian ke atas pelbagai  spesis dokumentasikan sebagai bukti bahawa sumber alam amat kaya dan boleh diterokai dengan kreativiti manusia untuk menyingkap segala rahsia alam untuk dikongsi bersama.



SISIPAN KONSTRUKTIVISME...

.....konstruktivisme di asaskan daripada idea bahawa individu secara aktif membina pengetahuan dengan bekerja bersama-sama untuk menyelesaikan masalah... 

Wujud Konstruktivisme dalam Bahasa Inggeris asalnya daripada perkataan construct yang bermaksud ‘membina’ dan diasaskan oleh beberapa ahli psikologi pendidikan seperti Von Glaserfeld, Piaget dan Inhelder (1969), Vygotsky, Confrey dan Peppert. Mengikut Teori Konstruktivisme berpendapat bahawa, pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda pelajar, tetapi seharusnya di bina dalam minda pelajar berdasarkan pengalaman sebenarnya.

Pendekatan teori pembelajaran konstruktivisme memerlukan pelajar aktif dalam proses pembelajarannya, dan memerlukannya membina makna pengetahuan yang di pelajari. Dengan cara pendekatan tersebut, pelajar dapat menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritikal. Pelajar memahami dengan cara menguji idea berasaskan pengetahuan dan pengalaman sediaada, cuba untuk manipulasi pengalaman sediada supaya menjadi suatu yang baru malah integrasikan pengetahuan baru dengan pengetahuan sediada. Maksudnya disini guru tidak perlu mengajar pelajar sebaliknya pelajar sendiri akan mencari jawapan dan selesaikan masalah yang diberikan berpandukan plbagai bahan pembelajaran yang disediakan. 
Aspek utama dalam konstruktivisme adalah menekankan bahawa pembelajaran merupakan sebuah proses aktif di mana pelajar membina pengetahuan/ konsep baru berasaskan pengalamannya. Pembelajaran konstruktivisme berdasarkan tiga garis panduan asas aiaitu:
- setiap individu membentuk perwakilan pengetahuan mereka sendiri melalui pengalaman yang dialami.
- pemebelajaran berlaku sekiranya ketidakseimabangan antara kerangka terkini dengan pengalaman/ pengetahuan baru.
-  pembelajaran berlaku mengikut konteks sosial dan interaksi antara rakan adalah penting dalam proses pembelajaran.

CIRI-CIRI KONSTRUKTIVISME.

KONSTRUKTIVISME.
- tumpuan pelajar
- pelajar cari dan membina maklumat baru.
- objektif tidak boleh ditentukan atau diramalkan dan hasilan objektif ditentukan oleh individu.
- pembinaan pengetahuan baru menjadi objektif utama.
- bebas tidak berstruktur. Fleksibel.
- penilaian oleh pelajar.
- Penggunaan pelbagai media dan kaedah
- pengetahuan dibina melalui pengalaman.
- melibatkan interaksi dua hala.
- pembelajaran adalah proses aktif, realistik dan bermakna berasaskan pengalaman dan konteks.
- kandungan dan strategi berasaskan keperluam pelajar dan keadaan sebenarnya

Kesimpulannya, apa yang dapat saya jelaskan disini adalah konstruktivisme dalam proses P&P adalah berpusatkan pelajar. Dimana pelajar akan dibantu oleh guru mereka yang bertindak sebagai fasilitator terutamanya dalam proses pembinaan pengetahuan dan penyelesaian masalah melalui pendekatan tersebut. Pelajar membina pengetahuan daripada pengetahuan sediada. Pengetahuan yang di terima merupakan hasil daripada pengetahuan yang di bina melalui aktiviti yang dilakukan oleh pelajar bukannya pengajaran yang diterima semata-mata.

INDAHNYA SENI....

" ......orang kreatif memiliki beberapa ciri peribadi yang istimewa. mereka ingin tahu semua perkara, oleh itu pengetahuan am mereka lebih luas daripada orang-orang biasa. mereka memerlukan pengetahuan itu untuk melahirkan pelbagai idea pada bila-bila waktu..."
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   Apabila memperkatakan seni, ramai yang memberikan pandangan positif terhadapnya. Seni itu sesuatu yang halus, indah dan menarik. Seni diterima sebagai salah satu bidang yang cukup luas. Seni berada dalam kelompok yang pelbagai. Seni visual, seni muzik, seni lakon atau teater, drama, seni suara dan sebagainya. Namun begitu, masyarakat mempunyai pilihan dan kebebasan dalam memilih dunia seni yang disenanginya. Malahan masyarakat berhak untuk memperjuangkan dunia seni yang diminatinya.

Bila sahaja menyebut seni dalam pendidikan, mungkin dalam benak terfikir adakah seni itu salah satu daripada bidang pendidikan??? Pendidikan yang bagaimana boleh diselaraskan dengan aspek seni?? Begitu jua dengan isu dan permasalahan dalam pendidikan seni visual..Pendidikan seni visual juga tidak kurang pentingnya dalam dunia pendidikan. Ia banyak memberi sumbangan terhadap masyarakat dan ia sebenarnya telah jauh melangkaui zamannya.

Mencintai dan menghayati keindahan adalah kehendak naluri semua manusia. Semua manusia tidak kira apa bangsa sekalipun menerima seni sebagai sebahagian daripada kehidupannya. Saya melihat ini dalam satu ruang yang cukup luas. Bukan sahaja menjurus kepada sesuatu bidang seni persembahan seperti filem, nyanyian, lakonan dan sebagainya.

SENI DAN EMOSI


Seni membawa maksud hasil karya manusia yang menggunakan bahan yang diorganisasi dengan mahir bagi menyuarakan pengalaman manusia. Melalui hasil seni, penilaian akal fikiran, nilai, kepercayaan dan budaya hidup sesuatu masyarakat dapat diketahui. Penghasilan dan penciptaan sesebuah karya seni meliputi peristiwa yang ada kaitan secara langsung dengan aspek kehidupan, agama serta kebudayaan seperti sejarah, kemasyarakatan, politik malah ekonomi.
Penghasilan sesuatu karya seni didasari oleh tiga komponen utama iaitu imej, konsep (idea) dan emosi. Sesuatu karya seni tidaka dapat lari daripada berdepan dengan segala persoalan emosi samada berkait terus dengan perasaan atau fizikal pelukis yang menghasilkan kesan tertentu daripada reaksi fizikal atau daripada susunan elemen tampak seperti garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna serta penggunaan prinsip rekaan yang menghasilkan kepelbagaian dan kesatuan pada komposisi karya.
Sesuatu karya seni itu dapat ditunjukkan sebagai sikap, minat, apresiasi nilai dan set emosi seterusnya memberi penjelasan emosi dalam pelbagai rupabentuk, penggunaan bahan dan media, pemilihan warna, kesan-kesan yang terhasil dan bagaimana sesuatu karya itu dapat dipersembahkan sehingga membangkitkan kesan emosi tertentu. Emosi terjelma akibat daripada sesuatu peristiwa, kebenaran, ingatan, pengharapan atau imaginasi. Setiap kegiatan seni melibatkan individu yang menggerakkan dan menghasilkannya. Individu yang terlibat mempunyai minat dan bakat di dalam penghasilan aktiviti seni, manakala karya pula ialah produk yang berjaya di hasilkan. Walaubagaimanapun karya dan pelukis masih tidak lengkap jika tanpa pemerhati yang akan menilai karya yang dihasilkan.

SENI DALAM SUDUT SOSIAL.




..meletakkan mata pena di muka kertas terbentuklah titik, menggerakkan batang pena (tanpa mengangkat) bermulalah garis (garisan)

Perbincangan daripada aspek sosial dapat dibahagikan kepada beberapa pecahan penting. Disini saya hanya ingin kaitkan beberapa pecahan sahaja iaitu komuniti dan kumpulan umur. Persekitaran tempat tinggal sanagat mempengaruhi sesorang terutamanaya bagi kanak-kanak. Semua kanak-kanak belajar daripada pengalaman dan persekitaran yang dekat dengan diri mereka, tidak kira di kawasan bandar, pinggir ataupun pedalaman. Dalam kehidupan anak-anak kecil di kawasan rumah mewah mengikut gaya kehidupan masyarakat sekelilingnya, begitu jua dengan anak-anak yang tinggal di kampung mereka mengikut nilai-nilai masyarakatnya hingga menjadi sebahagian cara dan sikap mereka pada seni di persekitaran.
Lukisan kanak-kanak menampakkan imej dan menjadi ekpresi terhadap individu. Ini mereka mereka menggambarkan suatu imej yang berada di persekitaran dengan memasukkan unsur-unsur dalam diri mereka, samada mereka menghasilkan karya itu dalam keadaan riang, sedih ataunya sebagainya. Anak-anak kecil yang normal seringkali belajar daripada pengalaman mengenai kehidupan dalam masyarakatnya. Apabila mereka tinggal dalam suasana yang aman damai,mereka berkarya dengan emosi yang tenang dalam diri. Sebaliknya mereka berkarya mengenai darah, kematian,senapang dan kesengsaraan jikalau berlakunya peperangan ataupun ancaman. Jelaslah disini seni adalah jambatan yang mampu menghubungkan kanak-kanak dengan masyarakat dan persekitarannya. Sebarang tindakan mencipta suatu imej bagi dilihat orang lain adalah suatu tindakan sosial. Bagi kanak-kanak, sosialis seringkali bermula dengan melukis, mewarna dan membuat model di kelas, yang mana guru-guru dan rakan-rakan sekelas memberikan tindakbalas pada hasil tersebut.


..kanak-kanak normal sering belajar daripada pengalaman kehidupan dalam masyarakatnya....

Seni tidak sahaja mengikut peringkat umur kerana pendidikan seni adalah pendidikan yang berterusan dan sepanjang hayat. Di Negara kita, aktiviti seni ini tidak begitu ketara dan menyeluruh. Bagi mereka yang memahami dan menghargai kepentingan seni dalam kehidupan, seni amat berguna untuk semua peringkat usia. Dalam satu keadaan, aktiviti seni amat berharga bagi mengisi masa lapang. Dalam keadaan lain, aktiviti seni dapat membantu menyelesaikan masalah. Dengan melakukan aktiviti seni, seseorang itu dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang seni dan menjadikan bidang ini sebagai salah satu daripada punca pendapatan ataupun kerjaya. Seseorang itu juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing.

SISIPAN PROBLEM BASE LEARNING....


Berdasarkan kepada pembacaan yang telah dibuat, maka dapatlah saya ringkaskan bahawa Pembelajaran Berasaskan Masalah (Problem Based Learning) suatu kaedah yang kerap diamalkan di banyak universiti yang terkemuka terutamanya di Eropah. Kemudian ia menarik perhatian untuk digunapakai dalam sistem pembelajaran di negara kita terutamanya golongan yang bergelar mahasiswa/i. Ia dikendalikan dengan memperkenalkan suatu masalah yang realistik. Pemilihan kepada masalah ini adalah untuk menarik pelajar untuk menyelesaikannya semasa berada dalam kumpulan. Mula diperkenalkan oleh Barrows dan Tamblyn (1980) dimana mereka telah melakukan satu kajian ke atas beberapa pelajar perubatan di McMaster School di Canada. Dalam kajian tersebut para pelajar secara individu dikehendaki menyelesaikan soalan yang telah diberikan oleh pengajar. Hasil dapatan kajian mendapati bahawa para pelajar akan terikat dengan pembelajaran mereka di dalam konsep penyelesaian masalah. Melalui pembelajaran berasaskan masalah ini pelajar memperolehi real-world challenges, higher-order thinking skills, problem-solving skills, interdisciplinary learning, independent learning, information-mining learning, teamwork dan kemahiran berkomunikasi.

Disebabkan mempunyai keinginan yang tinggi untuk menyelesaikan masalah tersebut ia mendorong pelajar melaksanakan pembelajaran kendiri dan pengajaran antara rakan-rakan yang lain (peer teaching) iaitu dalam kumpulan dan antara kumpulan. Dengan menggunakan pembelajaran berasaskan masalah ini, para pelajar mampu membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif, menganalisis dan menyelesaikan masalah. Pembelajaran ini memberikan peluang kepada suasana pembelajaran yang mencambahkan ilmu dan idea dikalangan pelajar, malahan secara langsung membina komuniti pembelajaran dinamik.

Dalam pembelajaran berasaskan masalah ini merujuk kepada matlamat dan bidang sesuatu pengajaran. Terdapat beberapa garispanduan cirri-ciri pembelajaran tersebut iaitu:
i.                    pelajar menghargai sesuatu pembelajaram melalui pengalaman lepas.
ii.                  Pelajar lebih bertanggungjawab terhadap pembelajarannya.
iii.                Pembelajaran yang boleh diaplikasikan bagi semua jenis bidang pengajaran.
iv.                Pembelajaran yang terdiri daripada teori dan amali.
v.                  Pembelajaran yang memfokuskan kepada proses pembelajaran.
vi.                Pengajar mempunyai peranan sebagai fasilitator.
vii.              Hasil pembelajaran dimana ‘student self-assessment’ dan ‘peer assessment’.
viii.            Mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi dikalangan pelajar.

Tujuan sebenar penyelesaian masalah adalah memberikan peluang kepada pelajar bagi mengaplikasikan konsep, prinsip dan teori yang dipelajari, menggalakkan pemikiran kritis, analitis, logis dan rasional, memperkukuhkan prinsip dan teori yang telah dipelajari, meningkat dan memperkukuhkan ingatan pelajar, memenuhi kehendak prinsip iaitu ‘belajar dengan membuat’,mendatangkan kepuasan terhadap pelajar yang berjaya jika mencapai hasil yang dikehendaki, membina keyakinan dikalangan pelajar malah memupuk perkembangan sifat berdikari. Menurut Prof. Khalid Mohamed Nor (2002), terdapat 3 Fasa dalam menyelesaikan masalah iaitu:

i.                    Fasa pemahaman masalah-  iaitu dikehendaki memahami masalah terlebih dahulu dengan memastikan semua takrif dan makna yang berkaitan diketahui. Tuliskan semula fakta dan maklumat yang berkaitan dan senarikan semua maklumat yang diberi serta membuat senarai lain untuk maklumat yang tidak diketahui. Akhirnya, rumuskan semua pertalian maklumat tersebut ke dalam bentuk sebutan matematik ataupun grafik seperti rajah, graf, gambarajah, carta dan lain-lain.

ii.                   Fasa Penentuan cara penyelesaian- iaitu menggunakan pengalaman yang lepas untuk memerhatikan adakah terdapat persamaan masalah dari segi pertalian maklumat yang ada. Jika tiada persamaan, cuba selesaikan dengan menggunakan prinsip asas, hujah logik atau kaedah cuba dan salah. Jika sekiranya langkah tersebut tidak berkesan menghasilkan jawapan, lihat semula maklumat tadi untuk tujuan merumus semula masalah agar ia diselesaikan dengan pendekatan yang berlainan.

iii.                Fasa. Rumus Masalah- selepas mengetahui jawapan, rumuskan jalan penyelesaian agar dapat dijadikan pengalaman dan contoh menyelesaikan soalan yang sama kelak.

Dalam pengajaran secara PBL ini ia mampu memberikan pengajar bertindak sebagai fasilitator dimana bagi memastikan pelajar tidak menyimpang jauh daripada matlamat masalah, memberi motivasi dan panduan untuk mencari penyelesaian dan memberi penutup selepas sahaja penyelesaian di bentangkan oleh pelajar. Semua tindakan ini mendorong untuk pelajar memperbetulkan konsep sekiranya terdapat kesilapan malah memberi ulasan terhadap penyelesaian yang akan dibentangkan. Perkara seperti ini pernah dibuat dikalangan pelajar pengajian Malaysia umumnya dimana ia melibatkan pembelajaran bagi kursus psikologi pendidikan.


..pembelajaran berasaskan masalah membantu kita menyelesaikan masalah melalui proses bertindakbalas terhadap masalah dihadapi oleh orang-orang dewasa dan profesional....


Sunday, October 10, 2010

SENI KRAF BATIK



penghasilan karya batik.....


BATIK adalah suatu perkataan yang mempunyai pengertian, nilai dan keunikan tersendiri dengankepelbagaian imaginasi dan penghayatan melalui tafsiran yang dibuat oleh para pengkaji. Berpandukan kepada beberapa penulisan karyawan terdahulu tentang kewujudan perkataan batik ditemui dalam Kamus Dewan, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka 1994, iaitu 'ambah', membawa makna pertukangan  atau boleh dinayatakan sebagai kerja-kerja mahir yang menggunakan tangan untuk menghasilkan produk. Manakala, perkataan 'titik' pula memang tidak dinafikan diambil dari proses melilin atau mencanting variasi garisan samada melalui titisan, titikan atau menitik di atas permukaan fabrik untuk merealisasikan ekspresi dan kreativiti pengkarya mengilhamkan rekacorak. Rasional gabungan dua perkataan ini didapati lebih tepat dan sesuai untuk menyatakan satu proses kerjatangan warisan kraf tradisional yang harus dipelihara untuk terus unggul di persada dunia.


..pemilihan motif bersumberkan alam semulajadi melalui proses peniruan dan inspirasi penggiat seni membangkitkan kreativiti mengolah, mentidaksejadikan atau memujarabkan halbenda yang dipilih...


BATIK didefinisikan sebagai kaedah hasilan kerjatangan tekstil yang menggunakan lilin sebagai bahan perantara untuk memisahkan atau penghalang kepada kepelbagaian warna yang dicelup atau disapukan keatas permukaan fabrik samada jenis sutera atau kapas yang bersesuaian, atau dalam bahasa inggerisnya dikenali sebagai, 'wax resist dyeing'. Proses membatik adalah aplikasi bahan, variasi peralatan, adaptasi rekacorak, inovasi teknik dan ekspresi kreativiti penggiat untuk memberikan nilai tambah bagi memaparkan keindahan rekacorak melalui gabungan warna yang menepati kehendak masyarakat.









SEKILAS BICARA....

Alhamdulillah,puji dan syukur hingga membolehkan saya menyediakan bahan atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan seni yang mana amat berharga untuk kegunaan saya, malah akan menjadi satu sumber rujukan kepada sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang seni.
Sesungguhnya tidak ada kejayaan tanpa kerjasama dan pengorbanan. Justeru itu saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada pensyarah, ibubapa dan rakan-rakan yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan pemikiran di dalam proses penyediaan bahan ini. Saya amat mengagumi ketekunan semua yang terlibat dalam menjayakan blog ini dengan memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk. Ini adalah satu program tersembunyi untuk semua mahasiswa/i supaya berusaha atau berwirausaha kerana tindakan yang dibuat merujuk kepada amanah terhadap agama,bangsa dan negara.
Semoga Tuhan memberikan limpah rahmat-NYA di atas segala budi yang telah dihulurkan dan kekalkan kerjasama untuk kejayaan pertahankan warisan bersama....jazakallahu khairan...